Bah Kuning 2014
Salam alayk...
Selamat tahun baru 2015 semua! Rasa kekok pulak bila lama sangat tak update blog ni. Sebab total entry untuk tahun 2014 hanya 9 sahaja. Malas ke sibuk? Entahla... dua-dua kot. Hihi~
OK lah, kali ni aku nak share dengan korang semua pasal banjir yang melanda negara kita pada hujung tahun lepas. Kelantan adalah negeri terburuk yang dilanda banjir. dan aku tak terkecuali menjadi mangsa banjir.
Mulai pertengahan bulan Disember (kalau tak silap aku), hujan dan angin kencang dah pun berlaku. Malah ada sesetengah kawasan yang rendah sudah dinaiki air. Air hujan yang bertakung. Memandangkan aku tinggal di Kota Bharu, dan mengikut sejarah-sejarah lampau (ikut cerita pak mertua aku la), kawasan rumah aku tu tak pernah dinaiki air pun. Bah besar tahun 2004 pun tak sampai ke kawasan rumah aku. Namun tahun lepas, segalanya berubah...
24 Disember 2014 - Rabu
Pagi tu aku dan Cik Abe ke Hospital Pasir Mas sebab kami ada operasi bersepadu Unit Inspektorat dan Perundangan JKNK. Cuaca pagi tu yang hujan lebat membuatkan kami membatalkan rancangan kami untuk turut serta dalam operasi bersepadu tersebut. Kami pulang ke CPRC (Crisis Preparedness & Response Centre) Negeri di Cawangan Penyakit Berjangkit (CPB). Kebetulan Dato' Pengarah JKNK sedang bermesyuarat pelan tindakan banjir bersama semua Ketua Penolong Pengarah. Aku pun join sekali meeting tu. Tengahari tu aku dengar air Sungai Kelantan sudah melimpah tebing dan sesetengah kawasan bandar KB dah dinaiki air. Kami keluar meronda. Memang air sungai sudah naik. Airnya kuning, dan melimpah dari longkang. Kembali ke CPB, kami mengangkat barang-barang yang penting dan menyelamatkan dokumen-dokumen penting. Petang tu kami pulang awal. Bila sampai di Paloh-Pintu Geng, aku lihat penduduk Bawah Lembah sedang berpindah, dan jalan ke Pintu Geng sudah tidak boleh dilalui. Cemas! Jalan semakin sesak disebabkan banyak kereta yang parking di tepi jalan. Kebetulan kami bertanya jalan kepada penduduk tempatan, kami dapat pulang ke rumah melalui Bunut Payung. Dan aku lihat kawasan Bunut Payung juga mula ditenggelami air.
+bandar KB mula dinaiki air+
25 Disember 2014 - Khamis
Hari Krismas. Pagi tu kami bercadang ke pejabat Cik Abe untuk tolong mengalihkan barang-barang dan dokumen-dokumen penting kerana pejabatnya sudah dinaiki air. Namun, bila kami singgah ke Pasar Wakaf Che Yeh untuk membeli sarapan pagi, orang ramai kecoh mengatakan bahawa jambatan Bunut Payung juga tidak boleh dilalui. Maka kami membatalkan niat kami dan kami membeli sedikit ayam dan sayur sebagai bekalan, andaikata kami terkepung semasa banjir. Lebih kurang pukul 12 tengahari, kami mendapat berita yang Wakaf Che Yeh juga ditenggelami air. Kami mula panik! Kami mengemaskan dokumen-dokumen penting dan meningggikan apa2 yang boleh diselamatkan. Aku juga sempat memasak untuk makan tengahari. Cik Abe sekejap-sekejap memerhatikan parit di depan rumah, kot-kot air naik. Pukul 1 petang, sedang aku di dapur untuk menghidangkan makan tengahari, aku terdengar bunyi bising dari rumah jiran sebelah. Dan aku juga terdengar bunyi seperti air sungai yang sedang mengalir laju. Bila aku buka tingkap dapur, MasyaAllah! Subhanallah! Air sungai datang dari arah belakang rumah kami dan sedang memenuhi kawasan rumah jiran kami (tanahnya rendah). Aku terus melaung kepada Cik Abe dan kami terus keluar mengalihkan Cik Swift aku ke tepi jalan besar. Rupa-rupanya dah ramai orang mengalihkan kereta dan jalan sedikit sesak. Bimbang juga jika kawasan yang aku letak Cik Swift tu turut dinaiki air, namun aku hanya mampu bertawakal kepada Allah. Bila kami sampai ke rumah semula, halaman rumahku turut diniki air ke paras betis. Aku memberanikan diri untuk mengharung air banjir (bimbang ada binatang berbisa) dan terus masuk ke dalam rumah. Aku mengemaskan apa-apa yang patut sementara Cik Abe mengalihkan CRV dan Fiat. Kami solat zohor dan membuat keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan memandangkan air semakin naik, menghampiri pintu rumah. Cik Abe mengajak aku makan tengahari dulu untuk mengalas perut kerana di pusat pemindahan tak tentu ada makanan. Nasi ku telan terasa pasir. Aku telan cepat-cepat. Makan sekadar mengalas perut. Masa makan tu, air sudah masuk ke dalam rumah. Dengan berbekalkan 2 beg galas setiap orang (berisi 2 helai baju, 2 helai seluar, air mineral, dan roti), kami meredah air untuk ke pusat pemindahan di SK Seri Kota. Tidak aku nafikan, arus air sungai sangat deras. Berjalan kaki ke pusat pemindahan sejauh 2 km seakan tidak terasa penatnya dek terfikirkan rumah yang ditinggalkan. Oh ya, Olaf juga aku terpaksa tinggalkan bersama makanan dan air, kerana susah untuk menjaganya di pusat pemindahan nanti. Aku hanya mampu berdoa agar Allah menyelamatkan Olaf dari musibah ini...
+rumahku mula dinaiki air+
Keadaan di pusat pemindahan amat mengharukan. Sesak! Masa kami mendaftar, kami adalah keluarga yang ke-335. Sekolah tu pula tidak berdaftar sebagai pusat pemindahan memandangkan kawasan tu tak pernah naik air. Kami diarahkan untuk naik ke tingkat 3, tingkat paling atas. Sampai je ke kelas pertama, kami terus masuk. Kelas tu sudah penuh, tapi kami duduk jugak di tepi pintu. Mujurlah ada yang menghulurkan kerusi kepada kami. Aku berbual-bual sedikit dengan makcik-makcik yang senasib (mangsa banjir). Tapi kebanyakan masa kami hanya mendiamkan diri. Masing-masing teringatkan rumah barangkali. Untuk solat Asar, kami ke tandas sekolah yang terletak di tingkat 2. Baru duduk dalam 3 jam, tapi tandas itu sudah kotor dan berbau. Tambahan pula bekalan air sedikit. Jimat-jimat la air tu untuk orang lain... Mujurlah, dalam pukul 6pm, pakcik ku Ayah Do (adik Ayah) datang ambil kami dengan pajero 4x4 ekzos kat atas. Syukur... Aku dan Cik Abe selamat melarikan diri ke Kuala Terengganu... Malam tu aku tak boleh tidur. Menangis teresak-esak teringatkan Olaf. Terkilan sebab tak bawa dia lari sekali. Moga Olaf selamat...
+ketika kami meninggalkan Wakaf Che Yeh+
28 Disember 2014 - Ahad
Kami kembali ke KB setelah air sedikit surut. Itu pun sebab kesiankan Olaf. Misi menyelamat Olaf sebenarnya. Kami menaiki pickup 4x4 Ayah Su (pakcik Cik Abe). Kami redah air kat Wakaf Che Yeh ke rumah. Air dalam rumah dah surut,tapi air di laman masih takat lutut. Bila saja aku membuka pintu rumah, terus aku terdengar suara Olaf mengiau. Ketakutan. Syukur Ya Allah... Olaf masih hidup. Aku terus berlari ke arah Olaf, badannya sangat hancing. Aku mengusap-usap Olag untuk menenangkannya. Aku terus memberi Olaf makan dan air. Keadaan dalam rumahku tunggang langgang. Perabot teralih, peti sejuk terbalik. Kami menyelamatkan kain baju yang kering dan beberapa barang lain. Selepas memuatkan barang-barang dan Olaf ke dalam kereta, kami bertolak pulang ke KT semula.
+air masih belum surut. takat air banjir kelihatan di dinding+
+keadaan dalam rumah yang tunggang langgang+
31 Disember 2014 - Rabu
Air bah sudah surut. Kami diarahkan oleh bos masing-masing supaya pulang ke KB. Biarpun tidak boleh datang bekerja, kami perlu berada dalam negeri. Ambil cuti bencana, tanpa rekod. Ketika kami sampai, bekalan elektrik belum ada di rumah. Bekalan air pula sangat terhad. Kami hanya mencuci lantai di ruangan parking kereta yang selutnya setebal 2-3 inci. Sepanjang proses pembersihan, kami menyewa di homestay sepupu pak mertuaku.
+air sudah surut sepenuhnya, hanya lumpur tebal yang tinggal+
Begitulah, proses pembersihan masih lagi berjalan hingga sekarang. Tak pasti sehingga bila. Aku sangat-sangat berterima kasih atas bantuan kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa mertuaku, adik-adikku, ibu-ibu dan bapa-bapa saudaraku dan sepupu-sepupuku atas bantuan yang dihulurkan. Rasanya kudrat kami berdua memang tidak berdaya. Aku juga redha dengan sedikit ujian yang diberikan oleh Allah ini. Sesungguhnya ramai lagi hambaNya yang menerima ujian yang lebih besar dan teruk...
p/s: Hari ni Diari Salsabila dah berusia 7 tahun. Yeay!!!
Maido ari, jaa~
Comments