Mari tinggalkan perkara tak berfaedah
Salam alayk...
Semalam aku mengikuti usrah PAPISMA di rumah Dr. Suhaini di Seksyen 4 Bangi. Ustaz Jamir telah menghuraikan tentang hadis ke-12 daripada Hadis 40 Imam An-Nawawi.
عن أبي هريرة رضي الله عنه ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعـنيه
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan Ibn Majah.
Pengajaran hadis:
Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.
Antara perkara yang tidak berguna ialah bercakap kosong, berhiburan yang melalaikan, duduk-duduk di jalan, bertandang ke rumah orang tanpa niat ziarah atau tanpa ada kepentingan, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau apa yang dikatakan dalam pepatah Melayu, menjaga tepi kain orang.
Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah
pembangunan umat.
Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.
Antara lain, Ustaz Jamir berkata, manusia tidak dapat mengelak daripada membuat 4 perkara ini:
1) Melakukan sesuatu yang berguna.
2) Meninggalkan sesuatu yang tidak berguna.
3) Meninggalkan sesuatu yang berguna.
4) Melakukan sesuatu yang tidak berguna.
Jadi, kita renung kembali diri kita, adakah kita tergolong dalam manusia yang membuat perkara pertama dan kedua, atau yang membuat perkara ketiga dan keempat.
Oleh itu, Islam menganjurkan 4 pembahagian masa dalam kehidupan seorang mukmin:
1) 1 masa untuk Allah (untuk beribadah).
2) 1 masa untuk muhasabah diri.
3) 1 masa untuk memikirkan perbuatan Allah.
4) 1 masa untuk pengurusan kehidupan.
Kesimpulannya, orang yang berjaya menguruskan masanya dengan baik dengan melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berguna, adalah orang yang berjaya di dunia dan akhirat...
Untuk renungan buat (diriku) yang lupa...
Maido ari, jaa~
Comments